Jurnal refleksi minggu pertama
1. Data : fikir kembali apa yang telah berlaku. Apa yang telah anda buat? Apa yang menarik perhatian?
Minggu ini merupakan minggu pertama saya menjalankan tugasan sebagai seorang guru praktikum. Sekolah ini merupakan sekolah kecil yang mempunyai jumlah murid yang sedikit. Dalam setiap tahun hanya terdapat satu kelas sahaja. Walaubagaimanapun, sekolah ini mempunya kemudahan prasarana yang cukup seperti kemudahan makmal, bilik guru, bilik peperiksaan, dewan terbuka, bilik untuk prasekolah dan juga kelas untuk pelajar pendidikan khas.
Guru pembimbing, En Kamaruzzaman memberikan saya peluang untuk berkenalan dengan murid tahun 4 Melur pada hari pertama. Perkenalan kami memberi saya gambaran awal mengenai cara mengawal kelas. Disebabkan terdapat hanya satu kelas bagi setiap tahun, murid di dalam kelas tersebut boleh dikategorikan sebagai kelas dengan kepelbagaian tahap dari yang pandai kepada yang kurang, dari yang baik kepada yang nakal. Aktiviti kokurikulum diadakan pada sebelah petang untuk pelajar tahap dua. Saya dikehendaki untuk menjadi guru Persatuan Sains,Unit Beruniform Pengakap dan juga Permainan Softball.
Apa yang menarik perhatian saya sepanjang minggu ini ialah sikap gotong royong yang ditunjukkan oleh murid dan guru. Sikap ini telah mengeratkan perhubungan antara pelajar dan guru-guru serta staf sokongan yang lain. Mereka bekerjasama membersihkan kawasan sekolah yang mereka diami sebagai tempat mereka berkumpul bersama-sama demi mendapatkan ilmu baru bagi murid-murid dan demi mencurah ilmu dan mendidik anak bangsa bagi para guru.
2. Perhubungkaitan dan perasaan: (Apa yang berkesan? Apa yang menyenangkan anda? Apa yang kurang berkesan? Apa yang menghampakan anda?)
Sepanjang minggu ini, saya hanya berkesempatan untuk masuk dua kelas sahaja. Saya cuba pelbagai pendekatan untuk menarik minat murid-murid bagi memberikan tumpuan kepada apa yang saya cuba sampaikan. Walau bagaimanapun, murid-murid hanya mampu memberikan tumpuan sekejap sahaja. Mereka perlu sentiasa diingatkan. Sesuai dengan peringkat umur mereka yang tidak mampu untuk memberikan perhatian dalam tempoh waktu yang lama.
Saya berasa sedih kerana saya tidak mampu mengawal kelas dengan baik. Bagi kelas tahun 3 Melur, apabila saya meminta dua orang sukarela untuk membantu saya memainkan sejenis permainan menangkap ikan kertas bagi topik Magnet, semua murid tampil ke hadapan dan tanpa menunggu arahan dari saya, mereka terus memegang batang pancing dan menangkap ikan. saya perlu bertindak lebih pantas, tegas dan memberikan arahan dengan lebih jelas lagi. Untuk proses pembelajaran dan pengajaran Sains, saya menggunakan bahasa Inggeris yang rendah di dalam kelas. Terdapat murid yang mengatakan mereka tidak faham dan menunjukkan reaksi negatif apabila saya cuba menerangkan sekali lagi arahan dengan menggunakan bahasa Inggeris yang rendah, siap dengan gaya. Mereka menolak untuk menyertai proses pembelajaran pada hari itu dan membuat kerja mereka sendiri.
Keadaan kelas yang bising menyebabkan suara saya tenggelam di kalangan murid-murid sehinggakan guru pembimbing membantu saya mengawal kelas. Beliau menggunakan rotan dalam mengawal kelas dan murid kelihatan takut dan mendengar arahan beliau supaya diam semasa guru sedang bercakap. Adakah saya juga harus menggunakan rotan untuk mengawal kelas? Ini betul-betul menjadi persoalan yang bermain di dalam fikiran saya. Saya betul-betul risau dan sedih kerana gagal mengawal kelas dengan baik. Bagi saya, adalah penting supaya murid-murid dapat memahami isi pengajaran pada hari tersebut dengan suasana yang menyeronokkan tanpa rasa takut kerana perasaan takut akan membantutkan sikap ingin tahu dan suka bertanya mereka dalam mempelajari sesuatu yang baru. Walau bagaimanapun, dapatkah mereka memahami apa yang cuba saya sampaikan tanpa memberikan perhatian kepada setiap isi yang cuba saya sampaikan apabila saya tidak menggunakan kekerasan supaya mereka memberikan perhatian? Mampukah mereka memberikan sepenuh perhatian dalam perasaan takut kepada saya? Adakah saya tidak cukup tegas dalam mengawal kelas menyebabkan mereka kurang memberikan perhatian. Saya memerlukan strategi baru dalam meningkatkan kemahiran mengawal kelas dengan kepelbagaian tahap murid.
3. Membuat interpretasi: (apa yang anda pelajari? Apakah implikasinya? Bagaimana apa yang berlaku itu mempengaruhi tugas/kerja anda?)
Daripada pengalaman seminggu saya menjalani praktikum, saya telah mempelajari mengenai cara menyediakan rancangan pengajaran harian yang lengkap bagi membantu saya dalam menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Perancangan yang lengkap dapat membantu saya dalam menghadapi situasi di dalam kelas.
Saya juga perlu memikirkan perancangan yang lain sekiranya apa yang dirancang tidak dapat dijalankan apabila terdapat kekangan yang tidak dapat dielakkan. Saya telah diberitahu bahawa penggunaan ICT adalah digalakkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penggunaan ICT ini dapat menarik minat murid untuk mempelajari topik yang saya ajarkan di dalam kelas.
Saya memerlukan strategi yang baru bagi mengawal kelas supaya semua murid dapat memberikan tumpuan kepada apa yang cuba saya ajarkan dan menarik minat mereka dalam mempelajari matapelajaran Sains. Selain itu, murid akan lebih memahami dengan lebih baik melalui apa yang mereka perhatikan. Ini akan memberikan pengajaran yang lebih berkesan dan bermakna di dalam kelas.
Kelemahan saya dalam mengawal kelas menyebabkan saya berasa sedih dan sedikit sebanyak telah mengganggu fikiran saya sepanjang minggu ini. Saya turut membincangkan akan hal ini dengan rakan-rakan yang lain. Mereka mengatakan mereka turut menghadapi masalah yang sama apabila mengajar kelas hujung yang mempunyai rekod pencapaian yang kurang memberangsangkan.
Mereka mencadangkan supaya saya bersifat lebih tegas dalam kelas dalam berhadapan dengan murid di dalam kelas. Saya telah memahami bahawa pendekatan intrinsik adalah yang paling penting bagi memastikan apa yang di ajar berkesan di hati mereka dan melahirkan nilai-nilai murni dalam proses membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Saya sedar bahawa keseimbangan ini penting dalam pembinaan Negara bangsa yang Berjaya dan sempurna sesuai dengan kehendak Islam bagi mempersiapkan mereka dalam meneraju kepimpinan generasi akan datang.
4. Keputusan: (bagaimana anda akan melakukannya secara berbeza pada masa akan datang?)
Pada minggu yang seterusnya saya akan membahagikan kelas saya kepada kumpulan. Murid-murid akan menjalankan aktiviti mereka di dalam kumpulan masing-masing. Nilai kerjasama, semangat tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengira tahap pencapaian akademik murid-murid dan juga nilai hormat menghormati akan diterapkan melalui aktiviti berkumpulan.
Galakan supaya setiap ahli kumpulan supaya bekerjasama dan menunjukkan sikap yang baik akan diberikan melalui pemberian ‘smiley’. Kumpulan yang menunjukkan sikap yang baik akan memperoleh ‘smiley’ manakala kumpulan yang tidak menunjukkan sikap yang baik tidak akan diberikan ‘smiley’. Saya harus memberikan galakan dan sentiasa mengingatkan murid-murid supaya sentiasa memberikan kerjasama dalam kumpulan masing-masing.
Saya perlu bercakap dengan nada perlahan dan tidak terlalu laju bagi mengelakkan murid tidak dapat memahami apa yang cuba saya sampaikan. Saya sangat berharap supaya saya dapat mengawal emosi dan berfikir secara berhemah dalam membuat keputusan. Sebolehnya saya tidak mahu memarahi murid-murid kerana bimbang saya tidak dapat mengawal emosi. Saya percaya apabila saya tidak dapat mengawal emosi, pelbagai perkara yang tidak elok akan berlaku seperti membuat keputusan dengan mendadak mengikut perasaan tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan yang telah saya lakukan.
Pengalaman yang saya perolehi sepanjang minggu pertama ini akan saya gunakan bagi memperbaiki kelemahan saya kepada yang lebih baik pada masa yang akan datang.
p/s: cadangn bagi penambahbaikan amatlah dialu2kan. =)
Salam imah... apa kaba???
ReplyDeletesehat? anis nie... knal lg x?? huhu...
sy mntk izin, linkkan blog awk kat blog sy yer.... huhu...
imah praktikal kt skool mane?
ReplyDeletecikin~sk bukit china..
ReplyDeletetp budak melayu
hehe..
anis ~ bleh je anis.. tanx =)
knapa post asik panjang je..pnat ar nk bace..seb baek peminat setia..kalu x,mmg xbce ar..harhar~
ReplyDeleteyorke.. jrg post, skali post biala pjg cket. hehe~
ReplyDelete